cute


Kisah Cik Rabbit dan Encik Gorila

Assalamualaikum & salam kenal...
Alhamdulillah... akhirnya e-novel Gadisku Rabbita diterbitkan dalam bentuk novel oleh Alaf 21. (Senyum sampai telinga ni)


Comelkan cover novel ni? ;-)
Jom ikuti cerita ini sedikit...
HAKIMI masih belum mahu melepaskan pemandangan wajib yang terpampang di depan matanya. Dari hari pertama berpindah, entah kenapa rumah itu terus mencuri perhatian. Memaksa benaknya begitu teruja mahu mengetahui siapa bakal menghuninya. Bagaikan rumah itu akan dihuni oleh pari-pari dari langit ketujuh. Hmm... berharaplah sangat.
Dia mengeluh. Pari-pari yang dimurka kayangan sahaja yang akan tercampak dan tinggal di kawasan perumahan mewah Grand Impiana Vila, Bukit Tinggi itu. Padanya tempat itu tidak ubah bagaikan tempat tinggal makhluk asing. Manakan tidak jika kiri, kanan, depan, belakang hanya wajah-wajah asing sahaja yang terlihat.
‘Nasib kaulah badan... silap-silap ber-girlfriend-kan amoilah kali ni,’ gumam Hakimi. Matanya beralih ke rumah bersebelahan. Kelibat seorang pemuda Cina melintas pintu kaca di balkoni rumah itu membuat dia menggeleng dan tersenyum sendiri.
“Memang sah kali ni aku bakal dapat awek Cina pulak,” ujarnya sendiri dan terus berpaling masuk ke bilik. Langsir warna biru gelap ditarik menutupi pintu kaca yang memisahkan biliknya dan balkoni. Tubuh yang terasa malas dihempas ke sofa. Perasaan terasing dan kebosanan beradun mengasak fikiran.
Kenapalah ibunya beria-ia mahu berpindah ke situ? Rumah lama mereka di Seksyen 9, Shah Alam dahulu tidak cukup baik ke? Besar juga, siap diubahsuai pun. Jiran-jiran juga sudah seperti keluarga sendiri. Baik, ramah dan saling mengambil berat. Bagi melampiaskan perasaan yang memberontak, bantal kecil yang terhimpit di bawah badan dibaling ke lantai.
Sibuk Hakimi melayan amukan jiwa, pintu bilik tidurnya yang tidak berkunci ditolak perlahan. Muncul ibunya di sebalik daun pintu itu.
Puan Alia berjalan masuk sambil memandang Hakimi yang berwajah muram. Langkahnya terhenti seketika, bantal kecil yang terdampar atas lantai dikutip.
Sedar dirinya direnung dengan pandangan tidak puas hati, Hakimi memalingkan muka ke tingkap kaca. Yang perlu dibuat tika itu hanya menadah telinga.
“Kenapa asyik berkurung aje ni? Tak bosan ke? Turunlah, kita minum petang. Mama ada buat lepat ubi kesukaan Kim,” ujar Puan Alia dengan suara perlahan. Bantal di tangan dihulurkan.
Hakimi buat tidak peduli. Dibiarkan sahaja bantal itu mendarat ke atas pehanya. Dia membisu seolah-olah Puan Alia sedang berbicara dengan dinding sahaja.
Melihat muka Hakimi monyok bagaikan pau tidak sudah, Puan Alia sedar anak bongsunya itu memang tidak suka berpindah ke situ. Tetapi kalau diturutkan rasa hati Hakimi, dia pula yang tidak bahagia. Makan hati, berulam jantung setiap masa. Sudahlah suami harus dikongsi, kena pula berhadapan dengan madunya yang suka mengada-adakan masalah yang tiada.
“Kalau Kim bosan, ajaklah kawan-kawan datang,” pujuk Puan Alia. Perangai Hakimi yang suka memberontak dan membuat hal sendiri membuatkan kepalanya pening. Dulu Hakimi tidak begitu, semenjak tamat belajar dan pulang dari luar negara perangai anak itu berubah. Tidak seperti abang-abangnya yang lebih menurut kata. Makan hati betul melayan perangai anak bongsunya ini.
Hakimi buat muka tidak berperasaan.
Puan Alia melepaskan keluhan. “Mama keluar dulu. Nanti jangan lupa turun.”
LEMAS duduk bertapa dalam bilik, Hakimi bersiap mahu keluar. Dia ada janji dengan kawan-kawannya. Rambutnya dirapi sebelum turun ke tingkat bawah.
Handsome betul aku ni,” puji Hakimi depan cermin dan tersengih. Memang betul dia tampan, kalau tidak mana mungkin ada gadis-gadis yang gila bayang setiap kali dilayan. Pergh... taubat. Dia tidak mahu melayan gadis untuk bersuka-suka lagi. Serik dengan kes Rabeca yang begitu fanatik terhadapnya dulu. Tidak fasal-fasal menjadi kes polis kerana gadis itu hendak mengelar leher sendiri. Nasib baik juga kes itu berlaku jauh di Amerika sana. Maka, tiadalah kaum keluarga yang tahu.
Sampai sahaja di ruang makan, dia melihat Puan Alia sedang sibuk menghidang makan malam sambil dibantu Sarah, kakak iparnya.
Hakimi mencebik. ‘Tuan besar dah balik rumah,’ gumamnya kurang senang. Terus sahaja dia berlalu ke pintu utama. 
Puan Alia yang terpandang Hakimi tergesa-gesa mahu keluar menyapa. “Kim, makan dulu. Papa pun ada kat atas. Kita makan sama, ya?” ajaknya.
Hakimi mengeluh. Sempat dia menjeling ke atas. “Tak apa, ma. Kim dah lewat. Ada janji dengan kawan.” Dia terus keluar. Sebenarnya dia masih punya banyak masa, tetapi sengaja mencari helah dari makan semeja dengan papanya yang sebulan hanya sekali dua sahaja muncul di rumah itu. Buat sakit hatinya sahaja mengenangkan sikap kurang bertanggungjawab papanya itu. Andai sahaja dia mempunyai jodoh nanti, akan dipastikan agar tidak mengulangi kesilapan itu.
Hakimi tahu sesetengah orang mengagumi kehebatan papanya yang berjaya dalam perniagaan dan juga hebat menguruskan empat orang isteri. Dia peduli apa berapa ramai isteri yang papanya ada. Lahir-lahir sahaja dia memang sudah punya tiga orang ibu tiri. Tetapi apapun, mamanya yang satu itu jugalah yang menjadi ratu di hati.
Sifat tidak adil papanya yang membuatkan dia menjauhi lelaki itu. Bertahun-tahun papanya seperti dirantai ibu tirinya yang keempat dan membuat mamanya menjadi penderita tegar. Mujur dua lagi ibu tirinya tidak banyak kerenah. Jika tidak, pasti keluarga besar mereka selalu menjadi medan perang. Enjin kereta dihidupkan, pedal minyak ditekan dan setereng kereta dipusing. Keretanya terus dipandu laju.
PUAN ALIA mengeluh. Faham benar dia dengan perangai Hakimi. Jika katanya tidak, memang tidaklah jawapnya.
Encik Harun yang baru turun untuk makan malam menggeleng. Daripada bunyi enjin kereta tadi, dia tahu Hakimi sudah keluar.
“Kim pergi mana?” tanya Encik Harun menyembunyikan wajah kecewa. Melihat anak-anak lain sudah berkumpul di meja makan, hatinya menjadi terkilan? Setiap kali berusaha meluangkan masa di rumah itu, Hakimi pasti mengelak. Sudah lama muka Hakimi tidak ditatap. Hanya wajah remaja anak itu yang kekal terakam dalam ingatannya. Semenjak Hakimi menyambung pelajaran ke luar negara, mereka tidak pernah duduk berbual bersama lagi. Sama ada dirinya benar-benar sibuk atau Hakimi yang melarikan diri.
Encik Harun mengeluh sendiri mengenangkan dosa silam yang sudah dilakukan. Mungkin ini hukuman. Hakimi bukan anak kesayangannya tetapi ada sesuatu yang membuatkan anak itu cukup istimewa.
Wajah hampa Encik Harun membuatkan Firdaus kurang senang berada di meja makan. Dia tahu Hakimi puncanya. “Kim tu suka memendam rasa. Entah apalagi yang tak cukup agaknya?”
“Biarlah... dia muda lagi,” bela Encik Harun tidak mahu memanjangkan soal Hakimi dan membuatkan hubungan adik-beradik itu rosak kerana rasa tidak puas hati antara mereka.
Firdaus hanya mengeluh. Dia terasa hati tetapi tidak wajar pula mahu menunjukan protes.
“Hashim tak balik?” tanya Encik Harun. Anak sulungnya itu tidak banyak ragam seperti Hakimi. Hanya masalah rumah tangga yang dihadapi Hashim kebelakangan ini membuatkan anak itu murung.
“Abang balik lambat. Ada urusan pejabat yang dia nak siapkan,” beritahu Firdaus.

Encik Harun mengangguk. 

Nak lagi? Ikuti siri ini di Ilham Grup Buku Karangkraf atau dapatkan novelnya di pasaran secara online atau berkunjung ke kedai-kedai buku seluruh Malaysia.

Thanks ya :)

Nina Rose


Copyright@ Semua yang tercatat dalam blog ini adalah Hak Milik Nina Rose