cute


Anugerah Buku

Borang undian Anugerah Grup Buku Karangkraf mula diedarkan hari ini. Julung-julung kali anugerah seperti ini diadakan oleh Grup Buku Karangkraf bagi menghargai karyawan yang berada di bawah bumbungnya. Antara yang terlibat ialah Alaf 21, Buku Prima dan  Karya Bistari. Pastinya anugerah ini membuat hati karyawan-karyawan yang tercalon gembira. Semoga karyawan lain yang tidak tercalon juga berkongsi kemeriahan ini. Mungkin di tahun-tahun yang akan datang lebih ramai karyawan akan berusaha menghasilkan karya-karya bermutu.

Mari kita renung catatan penulis buku Maaf Cakap yang saya ambil dari laman FB beliau...

 APAKAH PENULIS PERLUKAN ANUGERAH?

Esok, Grupbuku Karangkraf memulakan pencarian untuk memberi anugerah kepada para penulis melalui Anugerah Grupbuku Karangkraf atau AGBK. Tujuan utama anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada para penulis. Siapa yang mengiktiraf mereka? Para pembaca.

Anugerah Penulis Pilihan, Buku Pilihan dan Penulis Harapan dengan 16 kategori lain pasti meriah. Peminat bukulah yang akan memilih dan membuat keputusan siapakah yang selayaknya menerima anugerah-anugerah itu.

Kerja penulis buku bukannya mudah. Ia kerja yang payah yang memerlukan disiplin kental. Perlu istiqamah kata orang, untuk menyiapkan sesebuah buku. Berminggu, berbulan malah bertahun mereka tunduk menghadap komputer. Mereka bukan manusia biasa. Jika setakat menulis tiga empat baris ayat seperti di dalam instagram atau facebook, itu semua orang boleh buat.

Jika menulis 10 para menjadi sebuah artikel, itu ramai orang boleh lakukan. Tetapi menulis beratus-ratus para, 200 hingga 600 halaman bukan boleh dilakukan oleh semua orang. Hanya orang yang benar-benar berminat sahaja yang sanggup lakukan.

Ia adalah marathon fikiran. Siapa sanggup menulis begitu terperinci, menceritakan sesuatu ataupun menghuraikan sesuatu dengan panjang lebar? Selagi penulis tidak mengakhiri tulisannya dengan perkataan ‘tamat,’ selagi itulah apa yang ditulisnya akan membayangi setiap langkahnya, mengintai di waktu senggangnya dan mengusik tidurnya. Dan, apabila seseorang penulis membuat noktah di hujung ayat akhirnya, ia umpama seorang ibu yang melahirkan seorang bayi. Seluruh tenaga mengandung idea dapat dilepaskan dengan kelahiran sebuah buku.

Namun, apakah penulis perlukan anugerah? Penulis menulis kerana dia berminat. Bukan duit yang dikejar. Jika wang dimahunya, lebih baik buat kerja lain yang cepat mendatangkan wang ringgit. Kerana minatlah dia bersengkang mata mencurahkan apa yang bertakung di mindanya untuk khalayak. Itulah kepuasan baginya. Kerana itu, penulis tidak perlukan anugerah.

Tetapi sebaliknya, golongan pembaca yang menatap karya mereka, yang memperoleh ilmu, yang terinspirasi dan termotivasi, malah terhibur dengan sesebuah buku itulah yang seharusnya meraikan penulis dengan memberi mereka anugerah itu. Anugerah itu sebagai tanda penghormatan kepada manusia unik yang telah menyuntik sesuatu yang hidup di fikiran, hati dan jiwa mereka.

Justeru itu, apresiasi pembaca melalui pemilihan dalam Anugerah Grupbuku Karangkraf adalah salah satu caranya.


Kepada yang gemar mengikuti dunia buku. Selamat mengundi. Undilah karyawan yang benar-benar menyumbang kepada masyarakat.

Copyright@ Semua yang tercatat dalam blog ini adalah Hak Milik Nina Rose