cute


Kisah yang tertangguh 2 : Kelab Alaf 21

1 Mei 2014 di Dewan Tun Ismail Kelab Alaf 21 telah dilancarkan dengan meriah. Sambil membeli buku kegemaran di PBAKL pengunjung juga berpeluang mendaftar sebagai ahli. Apa kebaikan dan kelebihan menjadi ahli kelab tersebut? Segala kebaikan dan keistimewaannya akan diwar-warkan tidak lama lagi di facebook rasmi Kelab Alaf 21. Yang teringin menjadi ahli kelab tersebut bolehlah menghantar masej ke peti facebook Novelis Weeda Airiza dan Novelis Azilah Wahab.





Pelancaran Kelab Alaf 21 telah di lakukan oleh Presidennya Tuan Eyman Haikal dan Pengurus Besar Penerbitan Grup Buku Karangkraf, Puan Sri Diah. Bacaan doa selamat dan sedikit jamuan bagi meraikan majlis tersebut juga turut diadakan.


Untuk memeriahkan lagi majlis, novelis-novelis senior dan junior turut diberi peluang untuk bersajak. Istimewanya sajak tersebut dicipta dari tajuk-tajuk novel Alaf 21. Begitulah kreatifnya novelis Alaf 21. Mereka-mereka yang terbabit dalam mencipta dan mendeklamasikan sajak adalah Novelis Kak Asmah Hashim, Fida Rohani, Nur Insyirah, Syaida Ilmuna, Iza Syafiya, Sasya Zainal dan saya tukang komen tak bergaji :p Sajak yang kami reka bersama seminggu sebelum majlis pelancaran diadakan berjaya mencuri hati semua yang hadir.


Semoga Kelab Alaf 21 berjaya mendekatkan jurang antara penulis dan pembaca. Kerana di bawah kelab ini semua penulis buku terbitan Alaf 21 turut terlibat. Kita kongsi kebaikan ilmu demi kecemerlangan bersama.






Sampai sini dulu...


Cerita Yang Tertangguh

Kemeriahan PBAKL 2014.



Pesta Buku Kuala Lumpur telah pun agak lama berlalu dan saya agak terlewat mengongsi kisah ini. Bukan sengaja tapi kerana kekangan masa yang buat blog ini selalu bersarang dan dihuni labah-labah. Tak mustahil juga bakal dihuni dracula... hehehe.


Pertama sekali saya nak ucapkan salam Ramadhan al mubarak buat semua umat Islam. Semoga di bulan yang mulia ini ALLAH S.W.T pinjamkan lagi perjalanan usia kita untuk menambah pahala amal kebaikan. Kekalkan sifat-sifat terpuji sebagai jati diri agar kita tidak menjadi insan yang dikeji.

Kembali kepada PBAKL yang lalu. Pastinya PBAKL sangat dinantikan oleh pembaca dan juga penulis. Selain pesta tersebut dapat mendekatkan pembaca dan penulis, diskaun paling menjimatkan juga turut ditawarkan ke atas semua bahan bacaan yang ada, tak ke berbaloi tu? Itu pengalaman pertama dan berharga buat diri saya. Kali pertama melangkah masuk ke Dewan Tun Dr Ismail sebagai seorang novelis pasti terasa kelainannya. Entah apa pandangan novelis senior kepada saya, entah bagaimana pula reaksi pembaca terhadap karya pertama saya bersama Alaf 21? Banyak persoalan bersilih ganti dengan debar di dada J



Alhamdulillah semua warga kerja Grup Buku Karangkraf sangat berbudi bahasa dan baik hati. Hubungan para novelis sama ada senior atau junior sangat akrab bagaikan sebuah keluarga. Ketika duduk semeja novelis senior memberikan tip dan nasihat buat kami penulis junior untuk lebih maju dalam bidang penulisan. Amalan berkongsi kebaikan dan menasihati keburukan menjadikan hubungan antara novelis di bawah Alaf 21 semakin baik. Tidak kurang juga para editor yang pandai memainkan rentak. Ada masa menjadi guru yang begitu tegas demi kecemerlangan anak muridnya dan ada masa menjadi kawan yang memberi dorongan dan semangat agar hubungan baik antara kami terus terpelihara.

Di PBAKL lalu kami para novelis telah sepakat mahu menjadi promoter bidan terjun untuk mendekati pembaca. Alhamdulillah misi yang diketuai Novelis Aku Turut Bahagia, Kak Asmah Hashim membuahkan hasil. Pandangan negatif pembaca terhadap novelis-novelis Alaf 21 yang dikatakan sukar didekati ternyata tidak benar. Kami para novelis gembira dapat beramah mesra dengan anda semua. Semoga tahun depan kita berpeluang bersama lagi.



Sebelum mengakhiri catatan ini, terima kasih tidak terhingga saya titipkan buat anda yang menyokong produk-produk berilmu dan berinformasi terbitan Grup Buku Karangkraf. Jadilah bangsa berilmu dengan membaca. Jumpa lagi dalam entri KELAB ALAF 21...



Copyright@ Semua yang tercatat dalam blog ini adalah Hak Milik Nina Rose