cute


Kisah yang tertangguh 2 : Kelab Alaf 21

1 Mei 2014 di Dewan Tun Ismail Kelab Alaf 21 telah dilancarkan dengan meriah. Sambil membeli buku kegemaran di PBAKL pengunjung juga berpeluang mendaftar sebagai ahli. Apa kebaikan dan kelebihan menjadi ahli kelab tersebut? Segala kebaikan dan keistimewaannya akan diwar-warkan tidak lama lagi di facebook rasmi Kelab Alaf 21. Yang teringin menjadi ahli kelab tersebut bolehlah menghantar masej ke peti facebook Novelis Weeda Airiza dan Novelis Azilah Wahab.





Pelancaran Kelab Alaf 21 telah di lakukan oleh Presidennya Tuan Eyman Haikal dan Pengurus Besar Penerbitan Grup Buku Karangkraf, Puan Sri Diah. Bacaan doa selamat dan sedikit jamuan bagi meraikan majlis tersebut juga turut diadakan.


Untuk memeriahkan lagi majlis, novelis-novelis senior dan junior turut diberi peluang untuk bersajak. Istimewanya sajak tersebut dicipta dari tajuk-tajuk novel Alaf 21. Begitulah kreatifnya novelis Alaf 21. Mereka-mereka yang terbabit dalam mencipta dan mendeklamasikan sajak adalah Novelis Kak Asmah Hashim, Fida Rohani, Nur Insyirah, Syaida Ilmuna, Iza Syafiya, Sasya Zainal dan saya tukang komen tak bergaji :p Sajak yang kami reka bersama seminggu sebelum majlis pelancaran diadakan berjaya mencuri hati semua yang hadir.


Semoga Kelab Alaf 21 berjaya mendekatkan jurang antara penulis dan pembaca. Kerana di bawah kelab ini semua penulis buku terbitan Alaf 21 turut terlibat. Kita kongsi kebaikan ilmu demi kecemerlangan bersama.






Sampai sini dulu...


Cerita Yang Tertangguh

Kemeriahan PBAKL 2014.



Pesta Buku Kuala Lumpur telah pun agak lama berlalu dan saya agak terlewat mengongsi kisah ini. Bukan sengaja tapi kerana kekangan masa yang buat blog ini selalu bersarang dan dihuni labah-labah. Tak mustahil juga bakal dihuni dracula... hehehe.


Pertama sekali saya nak ucapkan salam Ramadhan al mubarak buat semua umat Islam. Semoga di bulan yang mulia ini ALLAH S.W.T pinjamkan lagi perjalanan usia kita untuk menambah pahala amal kebaikan. Kekalkan sifat-sifat terpuji sebagai jati diri agar kita tidak menjadi insan yang dikeji.

Kembali kepada PBAKL yang lalu. Pastinya PBAKL sangat dinantikan oleh pembaca dan juga penulis. Selain pesta tersebut dapat mendekatkan pembaca dan penulis, diskaun paling menjimatkan juga turut ditawarkan ke atas semua bahan bacaan yang ada, tak ke berbaloi tu? Itu pengalaman pertama dan berharga buat diri saya. Kali pertama melangkah masuk ke Dewan Tun Dr Ismail sebagai seorang novelis pasti terasa kelainannya. Entah apa pandangan novelis senior kepada saya, entah bagaimana pula reaksi pembaca terhadap karya pertama saya bersama Alaf 21? Banyak persoalan bersilih ganti dengan debar di dada J



Alhamdulillah semua warga kerja Grup Buku Karangkraf sangat berbudi bahasa dan baik hati. Hubungan para novelis sama ada senior atau junior sangat akrab bagaikan sebuah keluarga. Ketika duduk semeja novelis senior memberikan tip dan nasihat buat kami penulis junior untuk lebih maju dalam bidang penulisan. Amalan berkongsi kebaikan dan menasihati keburukan menjadikan hubungan antara novelis di bawah Alaf 21 semakin baik. Tidak kurang juga para editor yang pandai memainkan rentak. Ada masa menjadi guru yang begitu tegas demi kecemerlangan anak muridnya dan ada masa menjadi kawan yang memberi dorongan dan semangat agar hubungan baik antara kami terus terpelihara.

Di PBAKL lalu kami para novelis telah sepakat mahu menjadi promoter bidan terjun untuk mendekati pembaca. Alhamdulillah misi yang diketuai Novelis Aku Turut Bahagia, Kak Asmah Hashim membuahkan hasil. Pandangan negatif pembaca terhadap novelis-novelis Alaf 21 yang dikatakan sukar didekati ternyata tidak benar. Kami para novelis gembira dapat beramah mesra dengan anda semua. Semoga tahun depan kita berpeluang bersama lagi.



Sebelum mengakhiri catatan ini, terima kasih tidak terhingga saya titipkan buat anda yang menyokong produk-produk berilmu dan berinformasi terbitan Grup Buku Karangkraf. Jadilah bangsa berilmu dengan membaca. Jumpa lagi dalam entri KELAB ALAF 21...



Anugerah Buku

Borang undian Anugerah Grup Buku Karangkraf mula diedarkan hari ini. Julung-julung kali anugerah seperti ini diadakan oleh Grup Buku Karangkraf bagi menghargai karyawan yang berada di bawah bumbungnya. Antara yang terlibat ialah Alaf 21, Buku Prima dan  Karya Bistari. Pastinya anugerah ini membuat hati karyawan-karyawan yang tercalon gembira. Semoga karyawan lain yang tidak tercalon juga berkongsi kemeriahan ini. Mungkin di tahun-tahun yang akan datang lebih ramai karyawan akan berusaha menghasilkan karya-karya bermutu.

Mari kita renung catatan penulis buku Maaf Cakap yang saya ambil dari laman FB beliau...

 APAKAH PENULIS PERLUKAN ANUGERAH?

Esok, Grupbuku Karangkraf memulakan pencarian untuk memberi anugerah kepada para penulis melalui Anugerah Grupbuku Karangkraf atau AGBK. Tujuan utama anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada para penulis. Siapa yang mengiktiraf mereka? Para pembaca.

Anugerah Penulis Pilihan, Buku Pilihan dan Penulis Harapan dengan 16 kategori lain pasti meriah. Peminat bukulah yang akan memilih dan membuat keputusan siapakah yang selayaknya menerima anugerah-anugerah itu.

Kerja penulis buku bukannya mudah. Ia kerja yang payah yang memerlukan disiplin kental. Perlu istiqamah kata orang, untuk menyiapkan sesebuah buku. Berminggu, berbulan malah bertahun mereka tunduk menghadap komputer. Mereka bukan manusia biasa. Jika setakat menulis tiga empat baris ayat seperti di dalam instagram atau facebook, itu semua orang boleh buat.

Jika menulis 10 para menjadi sebuah artikel, itu ramai orang boleh lakukan. Tetapi menulis beratus-ratus para, 200 hingga 600 halaman bukan boleh dilakukan oleh semua orang. Hanya orang yang benar-benar berminat sahaja yang sanggup lakukan.

Ia adalah marathon fikiran. Siapa sanggup menulis begitu terperinci, menceritakan sesuatu ataupun menghuraikan sesuatu dengan panjang lebar? Selagi penulis tidak mengakhiri tulisannya dengan perkataan ‘tamat,’ selagi itulah apa yang ditulisnya akan membayangi setiap langkahnya, mengintai di waktu senggangnya dan mengusik tidurnya. Dan, apabila seseorang penulis membuat noktah di hujung ayat akhirnya, ia umpama seorang ibu yang melahirkan seorang bayi. Seluruh tenaga mengandung idea dapat dilepaskan dengan kelahiran sebuah buku.

Namun, apakah penulis perlukan anugerah? Penulis menulis kerana dia berminat. Bukan duit yang dikejar. Jika wang dimahunya, lebih baik buat kerja lain yang cepat mendatangkan wang ringgit. Kerana minatlah dia bersengkang mata mencurahkan apa yang bertakung di mindanya untuk khalayak. Itulah kepuasan baginya. Kerana itu, penulis tidak perlukan anugerah.

Tetapi sebaliknya, golongan pembaca yang menatap karya mereka, yang memperoleh ilmu, yang terinspirasi dan termotivasi, malah terhibur dengan sesebuah buku itulah yang seharusnya meraikan penulis dengan memberi mereka anugerah itu. Anugerah itu sebagai tanda penghormatan kepada manusia unik yang telah menyuntik sesuatu yang hidup di fikiran, hati dan jiwa mereka.

Justeru itu, apresiasi pembaca melalui pemilihan dalam Anugerah Grupbuku Karangkraf adalah salah satu caranya.


Kepada yang gemar mengikuti dunia buku. Selamat mengundi. Undilah karyawan yang benar-benar menyumbang kepada masyarakat.

Ini tentang kahwin paksa rela bukan kahwin paksa ya...


Ada lagikah perkahwinan paksa rela pada zaman siber ini?

Jawapannya ada dan tidak mustahil, malahan hal karut yang berlaku pada zaman batu dan tidak diterima norma akal kita hari ini pun masih berlaku sebagai hal terpencil.

         Chitra gadis jelita seindah namanya. Namun dia bukan Cindarella, walau mempunyai peminat rahsia bernama Nafri. Pada usia memburu cita-cita dia mengimpikan kejayaan demi mengubah nasib keluarganya, meskipun impiannya sukar.

         Chitra juga gadis biasa yang mahu dicintai dan mencintai. Dia menyimpan perasaan terhadap Reza Irfan dan berharap satu hari nanti mereka akan bersatu sebagai suami isteri. Namun impiannya tidak kesampaian. Setelah tamat menduduki peperiksaan STPM dia dilamar Tuan Firdaus, pemilik kilang makanan laut yang kaya di kampung mereka. Andai umur Tuan Firdaus itu tua dua atau tiga tahun mungkin boleh dipertimbangkan, tetapi lelaki itu sudah berusia 40 tahun meskipun masih bujang. Cithra cuba juga berhelah tidak mahu berkahwin dengan Tuan Firdaus, dia mahu menyambung pelajaran ke universiti, dia mahu menjadi doktor, dia mahu mengubah nasib diri.  

         Kehadiran Datuk Bakril seakan menyelamatkan keadaan. Anak taat seperti Chitra tidak mungkin mengkhianati dan menghampakan ayahnya, walau hati sendiri terluka. Maka, Datuk Bakril mencadangkan Chitra membuat MOU sebelum berkahwin dengaan Tuan Firdaus. Paksa rela sudahnya Chitra berkahwin dengan Tuan Firdaus. Hancurlah impian cintanya bersama Reza Irfan.

         Usia perkahwinan Chitra tidak lama kerana Tuan Firdaus meninggal dunia kerana demam denggi. Mungkin Chitra rasa dia bebas tapi hati kecilnya rasa berdosa kerana tidak sempat menjadi isteri yang baik. Kehidupan diteruskan sehingga takdir menentukan dia hamil zuriat Tuan Firdaus. Keluarga Tuan Firdaus yang tamakan harta peninggalan Tuan Firdaus menuduh Chitra mengandungkan anak luar nikah, begitu juga dengan ibu tirinya. Hati Chitra dilanda duka. Mujurlah TUHAN pinjamkan dia insan-insan baik hati yang sudi menerimanya sehingga melahirkan Zalia.

         Perempuan manis dan baik seperti Chitra pasti akan membuat ramai lelaki terpesona dengannya. Amir yang bersikap dingin dengannya pun boleh jatuh hati. Tanpa segan Amir meluahkan perasaan, membuakan Chitra serba salah mahu menerima. Dia baru saja kematian suami, wajarkah jodoh datang melamar dirinya secepat itu. Banyak hal harus dipertimbangkan, tentang Ummu yang lebih memerlukan Amir berbanding dirinya. Menerima tidak, menolak pun tidak. Chitra membiarkan saja niat Amir tergantung buat sementara waktu, sehingga takdir medatangkan sesuatu yang tidak dijangka berlaku dalam hidupnya. Di saat persahabatan bersama Reza Irfan pulih, mereka ditangkap khalwat. Niat jahat ibu tirinya dan sepupu arwah suaminya, Engku Ema sekali lagi telah menjadikan dirinya isteri tanpa rela. Kali ini dengan lelaki yang sangat dicintai. Mungkin itu peluang untuk dia hidup bahagia. Namun impian Chitra tidak seindah mimpi. Reza Irfan menikahinya atas dasar dendam di masa lalu. Kecewa kerana pinagannya ditolak dan Chitra memilih lelaki yang jauh lebih tua berbanding usia mereka sebagai suami. Keegoan Reza Irfan mendera perasaan Chitra hingga akhirnya dia tawar hati untuk mengharap cinta Reza Irfan.

Kemalangan yang membakar rumah ayah Chitra telah membukakan rahsia siapa yang menjadi dalang mereka ditangkap khalwat. Reza Irfan kesal kerana menuduh Chitra yang merancang semua itu. Pengakuan cinta dan sayangnya terhadap Chitra bagaikan tidak bererti setelah Chitra menutup pintu hatinya.

Mungkinkah mereka akan kembali bahagia atau Chitra memilih perpisahan? Hanya Cinta MOU punya jawapan.


INI KOMEN SAYA SEBAGAI PEMBACA:
Cerita ini menarik. Jalan ceritanya tidak membosankan walaupun kisah insan daif yang diambil kesempatan oleh orang berada biasa kita baca. Gaya bahasanya teratur dan santai. Cerita ini dikategorikan sebagai bahan bacaan dewasa. Remaja mungkin bosan dengan kisah dilema wanita yang penuh warna emosi.

Cerita ini hampir tidak punya kekurangan, cuma saya perasan penulis meletakkan watak Chitra seolah-olah terlebih hormon lelaki. Apa pun itu bukan salah penulis kerana seorang lelaki memang sukar menterjemahkan jiwa seorang perempuan yang berhadapan dengan hal-hal berkaitan hati dan cinta. Saya nampak sifat lelaki dan cinta pada karakter Chitra sewaktu dilamar Amir...


4 bintang untuk novel ini.











Tajuk : Cinta M O U
Penulis : Nurassyi Rashid
Harga : RM 21.00
ISBN : 978 983 124 909 3
Tarikh Terbit : 2 Dis 2013
Penerbit : Alaf 21







Merajuk cara terhormat?


Waa... ada ke? Sebelum jawab ada ke tidak orang merajuk secara terhormat, jom berkenalan dengan DURRAH. perempuan yang berjiwa sensetif, suka menangis sampai mata bengkak. Tapi dia juga garang dan kaki buli. Taklah buli secara ekstrem. Dia buli-buli sayang aje. Macam mana tu? Macam ni… DURRAH kalau anti dengan seseorang dia suka bagi orang tu nama gelaran yang pelik-pelik.

Nak jadikan cerita DURRAH berkenalan dengan bos baru dia, Zharif. Zharif ni jenis lelaki penyayang tapi tak nak tujuk. Agaknya kalau tunjuk dia tu penyayang, handsome dia kurang sikit kot. Sebab karakter Zharif nampak lagi handsome dengan muka lelaki tak berperasaan dan tegas.

Bila dah saling berkenalan, Zharif jatuh hati kat Durah. Walaupun dari zahirnya mereka langsung tak ngam. Zharif tak suka berlagak romantik. Dia suka berterus terang. Alang-alang hatinya dah suka, dilamar saja Durrah sebagai suri hidupnya. Terkejut beruk Durrah dibuatnya. Tapi hati dah saling suka, dia terima juga.

Sebelum dia orang kahwin adalah beberapa masalah yang timbul. Biasalah nak dirikan masjid memang banyak dugaan. Jiwa raga syaitan manalah senang melihat anak cucu Adam melaksanakan kebaikan. Tapi sebab jodoh Durrah dan Zharif kuat, merasa jugalah mereka naik taraf status kawan ke suami isteri. Bermulalah cerita cinta terlebih dos antara mereka. Kisah mereka selepas berkahwin akan buat pipi anda tegang dan jimat sehelai topeng rawatan kolegen… hehehe.

Disebabkan mereka berdua tak bercinta sebelum berkahwin, jadi kedua-duanya kena ambil masa yang lebih lama untuk saling mengenali. Durrah tak banyak ragam tapi Zharif. Lelaki itu memang buat Durrah makan hati. Zharif ni macam oreo. Kejap ada, kejap tak ada. Selalu sangat macam tu Durrah terasa hati juga tapi dia cuba bertenang. Sabar Durrah, sabar…

Suatu hari Zharif muncul dan ajak Durah bercuti. Melompatlah dura suka. Yes! Dia  ikutlah Zharif. Tapi yang tak bestnya... Kan tadi dah cakap, Zharif ni jenis manusia tak ada hati dan perasaan. Dia biarkan Durrah duduk depan dia macam tunggul sewaktu mereka dating untuk makan bersama. Zharif melayan telefon bimbitnya mengalahkan orang tengah bercinta. Sudahnya Durrah merajuk secara terhormat.

"Abang, izinkan saya merajuk dan bawa hati yang sakit ni pergi. Maafkan saya sebab dah tak mampu nak bersabar. Hati saya dah tak kuat lagi.” Dengan bicara yang lembut, hati yang bergetar menahan marah, Durrah meminta izin. Dia terus bangun apabila Zharif masih ralit dengan telefon di tangan. Makin rancak pula jari jemarinya menekan-nekan skrin telefon itu.

Keh keh keh… Agaknya berapa ramai isteri yang sebelum merajuk minta izin degan suami dulu, eh? Sweet karakter Durrah ni dilakar Novelis Izza Aripin.

4.5 bintang untuk novel yang menarik dan menghiburkan ini. Nak tahu apa terjadi dengan cerita cinta ala-ala James Bond ini? Dapatkan Cinta Dorayaki di pasaran.


Percayalah, cerita ini memang best!



Judul : Cinta Dorayaki.
ISBN : 978 983 124877 5
Harga : RM 23.00
Penerbit : Alaf 21
Penulis : Izza Aripin





Copyright@ Semua yang tercatat dalam blog ini adalah Hak Milik Nina Rose