cute


Ini tentang kahwin paksa rela bukan kahwin paksa ya...


Ada lagikah perkahwinan paksa rela pada zaman siber ini?

Jawapannya ada dan tidak mustahil, malahan hal karut yang berlaku pada zaman batu dan tidak diterima norma akal kita hari ini pun masih berlaku sebagai hal terpencil.

         Chitra gadis jelita seindah namanya. Namun dia bukan Cindarella, walau mempunyai peminat rahsia bernama Nafri. Pada usia memburu cita-cita dia mengimpikan kejayaan demi mengubah nasib keluarganya, meskipun impiannya sukar.

         Chitra juga gadis biasa yang mahu dicintai dan mencintai. Dia menyimpan perasaan terhadap Reza Irfan dan berharap satu hari nanti mereka akan bersatu sebagai suami isteri. Namun impiannya tidak kesampaian. Setelah tamat menduduki peperiksaan STPM dia dilamar Tuan Firdaus, pemilik kilang makanan laut yang kaya di kampung mereka. Andai umur Tuan Firdaus itu tua dua atau tiga tahun mungkin boleh dipertimbangkan, tetapi lelaki itu sudah berusia 40 tahun meskipun masih bujang. Cithra cuba juga berhelah tidak mahu berkahwin dengan Tuan Firdaus, dia mahu menyambung pelajaran ke universiti, dia mahu menjadi doktor, dia mahu mengubah nasib diri.  

         Kehadiran Datuk Bakril seakan menyelamatkan keadaan. Anak taat seperti Chitra tidak mungkin mengkhianati dan menghampakan ayahnya, walau hati sendiri terluka. Maka, Datuk Bakril mencadangkan Chitra membuat MOU sebelum berkahwin dengaan Tuan Firdaus. Paksa rela sudahnya Chitra berkahwin dengan Tuan Firdaus. Hancurlah impian cintanya bersama Reza Irfan.

         Usia perkahwinan Chitra tidak lama kerana Tuan Firdaus meninggal dunia kerana demam denggi. Mungkin Chitra rasa dia bebas tapi hati kecilnya rasa berdosa kerana tidak sempat menjadi isteri yang baik. Kehidupan diteruskan sehingga takdir menentukan dia hamil zuriat Tuan Firdaus. Keluarga Tuan Firdaus yang tamakan harta peninggalan Tuan Firdaus menuduh Chitra mengandungkan anak luar nikah, begitu juga dengan ibu tirinya. Hati Chitra dilanda duka. Mujurlah TUHAN pinjamkan dia insan-insan baik hati yang sudi menerimanya sehingga melahirkan Zalia.

         Perempuan manis dan baik seperti Chitra pasti akan membuat ramai lelaki terpesona dengannya. Amir yang bersikap dingin dengannya pun boleh jatuh hati. Tanpa segan Amir meluahkan perasaan, membuakan Chitra serba salah mahu menerima. Dia baru saja kematian suami, wajarkah jodoh datang melamar dirinya secepat itu. Banyak hal harus dipertimbangkan, tentang Ummu yang lebih memerlukan Amir berbanding dirinya. Menerima tidak, menolak pun tidak. Chitra membiarkan saja niat Amir tergantung buat sementara waktu, sehingga takdir medatangkan sesuatu yang tidak dijangka berlaku dalam hidupnya. Di saat persahabatan bersama Reza Irfan pulih, mereka ditangkap khalwat. Niat jahat ibu tirinya dan sepupu arwah suaminya, Engku Ema sekali lagi telah menjadikan dirinya isteri tanpa rela. Kali ini dengan lelaki yang sangat dicintai. Mungkin itu peluang untuk dia hidup bahagia. Namun impian Chitra tidak seindah mimpi. Reza Irfan menikahinya atas dasar dendam di masa lalu. Kecewa kerana pinagannya ditolak dan Chitra memilih lelaki yang jauh lebih tua berbanding usia mereka sebagai suami. Keegoan Reza Irfan mendera perasaan Chitra hingga akhirnya dia tawar hati untuk mengharap cinta Reza Irfan.

Kemalangan yang membakar rumah ayah Chitra telah membukakan rahsia siapa yang menjadi dalang mereka ditangkap khalwat. Reza Irfan kesal kerana menuduh Chitra yang merancang semua itu. Pengakuan cinta dan sayangnya terhadap Chitra bagaikan tidak bererti setelah Chitra menutup pintu hatinya.

Mungkinkah mereka akan kembali bahagia atau Chitra memilih perpisahan? Hanya Cinta MOU punya jawapan.


INI KOMEN SAYA SEBAGAI PEMBACA:
Cerita ini menarik. Jalan ceritanya tidak membosankan walaupun kisah insan daif yang diambil kesempatan oleh orang berada biasa kita baca. Gaya bahasanya teratur dan santai. Cerita ini dikategorikan sebagai bahan bacaan dewasa. Remaja mungkin bosan dengan kisah dilema wanita yang penuh warna emosi.

Cerita ini hampir tidak punya kekurangan, cuma saya perasan penulis meletakkan watak Chitra seolah-olah terlebih hormon lelaki. Apa pun itu bukan salah penulis kerana seorang lelaki memang sukar menterjemahkan jiwa seorang perempuan yang berhadapan dengan hal-hal berkaitan hati dan cinta. Saya nampak sifat lelaki dan cinta pada karakter Chitra sewaktu dilamar Amir...


4 bintang untuk novel ini.











Tajuk : Cinta M O U
Penulis : Nurassyi Rashid
Harga : RM 21.00
ISBN : 978 983 124 909 3
Tarikh Terbit : 2 Dis 2013
Penerbit : Alaf 21







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright@ Semua yang tercatat dalam blog ini adalah Hak Milik Nina Rose